Wednesday, July 8, 2009

Pelajar SMK Guntong edar risalah anti dadah





Pelajar SMK Guntong edar risalah anti dadah

AIR SEJUK - "Jauhkan diri daripada dadah". Itu kata 30 pelajar Sekolah Menengah Kebang-saan (SMK) Guntong khusus kepada pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya di hadapan Stesen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini.
Pelajar itu adalah antara yang terbabit dalam menjayakan Kempen Anti Dadah Agensi Kerajaan dengan Komuniti sebagai usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap bahaya ancaman dadah.
Jurucakap kempen, Romeli Ismail, 52, berkata, sebanyak 1,500 risalah diedarkan kepada pengguna jalan raya membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) Daerah Setiu termasuk 30 pelajar dari SMK Guntong.
“Kempen anti dadah itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Abdul Halim Jusoh merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Membanteras Dadah Daerah Setiu.

“Antara agensi terbabit dalam program ini adalah Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Pejabat Daerah Setiu, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam dan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru SMK Guntong,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di stesen JPJ Air Sejuk.
Menurut Romeli, kempen itu adalah langkah mendekati golongan sasar dengan mengedar risalah berkaitan bahaya penagihan dadah dan hukuman berat terhadap pengedar dadah.
“Menerusi pembabitan pemimpin, PBT, pelajar dan komuniti setempat, mesej anti dadah akan dapat disampaikan secara meluas kerana masyarakat sentiasa menyambut usaha bersepadu seperti itu ,” katanya.
Sementara itu, pelajar, Wan Amiza Husni Wan Razali, 17, berkata, kempen itu bukan hanya dapat menyebarkan maklumat berguna kepada masyarakat tetapi juga dapat menanam kebencian pelajar terhadap najis dadah yang menjadi musuh utama negara.

No comments:

Post a Comment